Friday, December 9, 2011

Permulaan Mesir


Surat dari Mesir untuk ummi, abi, thana, tamim, sanak saudara, sahabat yang saya kasihi dan cintai.

Selepas 1 hari di Bahrain , berangkat ke Mesir, bumi yang sudah lama simpan di hati untuk dijejaki. Kaki jejak ke bumi mesir, pandangan pertama turun dari kapal terbang, berurusan dengan pegawai di airport Mesir, dengan tidak faham bahasa arab ammi (pasar) mesir, selepas disemak passport disuruh beratur semula, mungkin kerana nama macam terrorist. Keluar dari airport, disambut oleh senior2 dari Badan Kebajikan Anak Selangor (BKSAM), pandangan pertama ke bumi mesir, jauh sungguh perbezaan berbanding Bahrain, kereta-kereta mahal buatan Amarika, Eropah, Jepun, Korea, buatan Malaysia pun ada, semua remuk-remuk dan calar-balar.

Hari-Hari Pertama
Ditempatkan di imarah (banggunan) Selangor, bilik 203, bersama dengan sahabat-sahabat Adha, Muaz Yaman, Jurjani, dan senior-senior, Ust.Muslim, Ust.Naufal Halim, Ust.Azri,  Dr.Hamdi, Dr.Fadhil. Dengan semangat yang berkobar-berkobar tiba di Mesir, no telefon tiada lagi, badan tidak rasa letih, walau senior suruh rehat tapi tak nak, duduk di koridor luar kat bawah. Tanpa disangka dalam hanya baru beberapa jam, tengah duduk saja-saja di koridor tanpa dirancang tapi dengan perancangan Allah bertemu dengan ikhwah ISMA Mesir, Dr.Nuaim, Dr.Zul, Ust.Siddiq Fauzan, Danial Al-Asr, Ikramah Al-Din. Ucapan yang tak boleh lupa,"ahlan bik ila misr".

Di imarah Selangor, pelbagai program diatur oleh BKSAM untuk kami mahasiswa-mahasiswa baru, bak kata pepatah yang selalu disebut-sebut, "aljadid kal a'ma walau kana basira" "orang baru seperti orang buta walau dia melihat". Banyak program diatur untuk persedian awal di Mesir, orentasi mudah nak cakap. Terima kasih atas segala yang dilakukan untuk kami.

Jiwa yang semangat berkobar-kobar nak mengutip mutiara-mutiara di sebalik debu-debu pasir yang dikatakan, ilmu, dakwah dan tarbiyyah. Kami di kuarantinkan di imarah untuk beberapa minggu untuk langkah-langkah persedian, tapi dengan jiwa muda yang memberontak, kalau ada senior yang nak keluar pasti nak ikut, jadilah antara mahasiwa Selangor yang baru yang awal-awal berjalan-jalan jauh, tidak berniat untuk memberontak tapi inilah jiwa muda yang bersemangat. Sekali-sekali pergi ke masjid berdekatan untuk dapat ruh arab.

Hari pertama bertemu ikhwah, selepas beberapa hari, mungkin satu-dua minggu  tidak bertemu ikhwah. Hati ini macam tak sabar je nak jumpa ikhwah dan bersama dalam sistem tarbiyyah. Satu hari selepas subuh, ikhwah jemput datang rumah, bersama dengan Ustaz Kamarul Naim, HRD ISMA Mesir dan ikhwah-ikhwah lain, Ust.Najid, Faiz Lee, dan ahli2 rumah Toba El Ramli, rumah ikhwah pertama yang dijejaki. Satu perjumpaan 'selamat datang' yang sebentar tapi membasahkan hati dan ukhuwah dan menjelaskan serba sedikit apa yang nak dicari di Mesir. Ilmu di Al-Azhar dan Manhaj Ikhwan Muslimin.

Minggu- Minggu Pertama
Kaki ini masih tidak jejak ke Al-Azhar dan tak sabar. Alhamdulillah ada senior yang rajin bawa ke Al-Azhar dan tempat-tempat lain, Ust.Hanif Hasan, Ust.Muaz, Ust.Toriq. Dengan semangat yang ada, ikut Ust.Hanif ke Al-Azhar, waktu tersebut bas semua tiada kerana mogok minta menaikkan gaji, kami lompat-lompat trenko(van) sehingga tiba di Al-Azhar, mengambil jadual kelas yang sudah keluar tapi kelas tidak bermula lagi, pada awal oktober. Ke masjid Al-Azhar mengambil jadual kelas talaqqi.

Kelas di Al-Azhar tidak bermula lagi, semangat yang ada mencari kelas-kelas dan ilmu-ilmu yang boleh dicedok. Perancangan telah ditulis. Sekali ke rumah Kedah talaqqi kitab bidayatul hidayah. Sekali ke Masjid Hussein tahsin (perbaiki bacaan) Quran dengan syeikh Nabil, sambung tahsin dengan syeikh Asyraf setiap kali  selepas subuh di masjid Solah Ja'fari, tetapi sungguh meletihkan selepas subuh terus keluar selepas itu sambung kelas balik petang, disebabkan agak penat tukar tahsin dengan syeikh Waeel di Mukhottom, selepas kelas di Al-Azhar. Tahfiz (hafal) Al-Quran ada beberapa kali di Ubai Ka'ab tapi tidak terus sebab bertembung dengan kuliah Al-Azhar.

Alhamdulillah kuliah dah bermula,walau nama tidak naik lagi, imtihan qabul belum, menghadirkan diri pada setiap hari untuk membiasakan diri bercakap bahasa arab fusha dan ammi. Cuba untuk dengar dan faham muhadarath (kuliah) dari doktar.

Menghubungi kekasih hati itulah ibuku yang dipanggil  "ummi", mengkhabarkan berita kesukaran untuk memahami dan bertutur bahasa arab, pesanannya kepadaku "dulu ummi  di US macam tu juga, walaupun bahasa inggeris tapi bahasa inggeris engginering, ummi sorang-sorang student perempuan  sivil engginering dalam kuliah, selepas dua tahun baru fasih."


Aiman Sha'ari, sepupuku dari Malaysia datang ziarah saya dan sahabatnya yang juga ikhwah, Danial. Antara tujuan lain untuk melihat dan mengambil pengalaman di negara asing. Saya, Aiman, Danial telah berjalan di sekitar  old cairo fathimiyyah dibawa oleh ust.Thaqib, sangat mengkagumkan penerangan darinya, seni bina yang ada dengan pelbagai bentuk dan seni dari latar belakang negara yang berbeza.

Seni bina Turki dengan tiangnya yang lurus memanjang; sabil (salur air) yang berada merata-merata di situ hasil perancangan Raja Pasya, pada masa lalu atas setiap sabil dibuat kelas-kelas pengajian agama, atas  kelas-kelas dibuat masjid; banggunan yang diletak ditengah-tengah jalan supaya tak nampak kosong; sempat menaiki puncak menara sempadan Kaherah Fathimiyyah, terasa nak menawan Mesir (mengambil semua ilmu di Mesir) .

Esok bertolak ke Alexanderia , singgah Library Alexenderia yang menggambarkan kegemilangan keilmuan di Alexenderia pada suatu masa dahulu yang ingin dikembalikan, Alexenderia pusat tumpuan ilmu dari sekitar Maditeranian dalam pelbagai bidang. Suatu bandar yang berbeza dari Kaherah.

Ke Mansurah dan Dumyat; Adik Ust.Farhan Fadhil, Faiz dan Faris dan sahabat mereka Hakim baru tiba dari Malaysia di airport Kaherah, hantar mereka ke Mansurah, rumah Hakim, ke Dumyat, rumah Faiz dan Faris.Berehat sebentar dan pulang semula ke Kaherah.

 Sudah ke Alex, Mansurah, Dumyat, lalu Tanta tapi masih tidak jumpa ikhwah di sana.

Hari Raya Aidil Adha pertama tidak bersama keluarga tapi bersama dengan ikhwah, semua turun ke Kaherah dari setiap mahfuzah (negeri), Alex, Mansurah, Tanta, dari universiti-universiti pelbagai.Bertemu dengan Dr.Yamin dan ikhwah-ikhwah lain. Sama-sama hirasah jaga lembu, kambing.  Korban sama-sama, sembelih, melapah, potong kecil-kecil, masak sama-sama, potong cili, kupas bawang, hiris lobak.Tidur dan hirasah memasak untuk Majlis Raya Aidil Adha.


Bulan-Bulan Pertama
Tiba di Mesir musim panas, dan ia sudah berlalu, kini musim sejuk.

Semangat yang berkobar-kobar jangan dilunturkan, hadir setiap kuliah, baca kitab dan kutaib (kitab kecil), beli kitab, cari dan belajar dari syeikh. Bertemu, kenal dan rapat dengan ikhwah.

Mata, hati, akal perlu dibuka memperhatikan peristiwa yang berlaku dan mengambilnya sebagai bekalan dan pengajaran. 

Banyak peristiwa dan pengalaman tapi tidak dicatat, perlu dicatat sebagai nota-nota kehidupan  untuk diri sendiri dan mungkin boleh dikongsi kepada semua.

Sekarang waktu imtihan (periksa) , fokus untuk periksa, harap doakan berjaya dari semua. Kita sama-sama saling berdoa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...