"Jadilah seperti orang yang kakinya berpijak di tanah, tetapi cita-citanya setinggi bintang di langit" Dr. Aidh Al-Qarni |
Setahun sudah saya
di tanah air orang, bumi barakah, bumi kinanah, bumi anbiya' ini, Mesir. Banyak
peristiwa berlalu dan berlaku, kalau berkesempatan akan saya catatkan untuk
diri sendiri dan yang tersayang.
Melangkah kaki ke
Mesir dengan cita-cita yang tinggi, ingin diri ini menjadi harapan ummah,
mengejar untuk belajar dengan sebanyak-banyaknya erti tarbiyyah, dakwah, dan
kefahaman agama yang sebenar.
Mungkin banyak titik
sejarah dalam kehidupan saya yang menyebabkan saya bercita-cita dan masih
bercita-cita.
*****
Sebelum saya ke
Mesir, sedang sibuk berkemas dan membuat urusan untuk ke mesir, visanya, sijil
terjemahannya, passport, kpt,zakat.
Sempat saya
menyelongkar beg dokumen keluarga, yang disimpan segala dokumen penting
keluarga oleh Umi. Itulah Umi ku yang amanah menjaga keluarga ini. Saya
terjumpa satu poskad yang dialamatkan kepada saya.
Poskad dibuka,
tercatat tulisan pen biru yang tulisannya bersambung seperti ala-ala tulisan
dokter. Tulisan dalam bahasa inggeris. Dihantarkan kepada bayi berumur satu
tahun oleh ayahnya yang sedang belajar bahasa arab di Jordan. Dicatat harapan
abi untuk anaknya menjadi cendikiawan bahasa arab dan ilmu agama ini, yang
dicintai dan menjadi harapan ummah.
Mungkin ini titik tolak pertama saya, jagaan umi dan doa
abi.
*****
Ketika saya
tingkatan satu, saya dikenalkan dengan usrah (kumpulan kecil bersama seorang
pembimbing). Saya bersama tujuh orang rakan sebaya bersama seorang abang
tingkatan lima maahad.
Pertemuan pertama
saya, naqib (ketua atau pembimbing) mengoyakkan beberapa kertas A4 dan mengagihkan kepada kami semua. Pensil
warna-warni diberikan, kami teruja keseronokan seperti kanak-kanak (memang
pun).
"Apa nak buat
dengan kertas dan pensil warna ni?"
"Abang nak
korang lukis korang nak jadi apa besar nanti."
"tak pandai
lukislah"
"takpa lukis
je"
Kami pun lukis
jelah, habis conteng kertas tu. Habis lukis kami tunjuk kepada semua, gelak
semua,lukisan semua buruk. Macam - macam yang dilukis, ada kereta F1 dan
pemandunya, ada kapal terbang dan pilot, ada komputer dan topi engineer.
Ini mungkin titik
mula saya bercita-cita, mahu jadi Al-hafiz Quran dan engineer.
*****
Saya terus mengikut
usrah dan tarbiyyah di sekolah menengah, di sini semua senior-senior sangat
menambil berat tentang tarbiyyah adik-adik.
Saya mengenal Hasan
Al-Banna, Maududi, Mustafa Mahsyur, Ahmad Ar-Rasyid semuanya disini.
Saya yang masih
budak bersemangat, kepimipinan sekolah ada membuka pameran jualan buku. Saya
yang hanya mengenal tokoh-tokoh ini, ternampak satu buku yang ada wajah Hassan
Al-Banna, itulah buku majma' rasail. Saya baca hampir habis, ditanya seorang
abang "faham tak?"
Sekarang ni baru
saya tahu berapa tinggi nilai buku ini.
Mungkin ini menjadi
titik cinta saya kepada tarbiyyah dan Mesir.
*****
Silih berganti naqib
dan saya banyak belajar dari mereka. Dari naqib yang sangat sayang akan
binatang, saya belajar kasih dan cinta kepada alam ini.
Dari naqib yang
tegas dan kata-katanya yang selalu memperli, " anta ni hamba yang
bermain", "baik sorang-sorang", "apa anta buat untuk
kawan-kawan anta", menjadikan saya sentiasa berfikir untuk kawan.
Dari naqib yang
perwatakannya sangat mengambil berat tentang adik-adiknya, saya belajar
perikemanusiaan, kasih, cinta kepada manusia.Walau jalan berbeza sekarang tapi
matlamat kami masih sama.
Dari naqib yang
sentiasa berkata, "belajor, belajor, belajor" saya tak pernah putus
asa dan berhenti belajar dari pengalaman
dan kesilapan.
Tak kurang juga yang
tak pernah menjadi naqib saya yang banyak memberi inspirasi. Terima kasih
semua.
Setiap manusia yang
saya bergaul, umi dan abi, teman-teman, adik-adik, naqib -naqib, guru -guru.
Semuanya membuatkan saya terus bercita -cita.
*****
Setiap kita mungkin
mempunyai titik kehidupan yang memberi kita inspirasi untuk bercita - cita.
Seorang akh (saudara) pernah berkata kepada saya "Mungkin cita - cita itu
berubah setiap masa mengikut pengetahuan
kita tapi yang penting kita mesti terus bercita -cita"
Ini sedikit titik
cita - cita saya, jom kita terus bercita seperti kata-kata Al-banna,
"Kenyataan hari ini adalah impian semalam, kenyataan
esok adalah impian hari ini"